“Anak saya masih tak pandai makan nasi. Makan bubur je. Boleh jadi punca dia lambat bercakap tak?”
Ini soalan seorang ibu yang risaukan anaknya yang sudah masuk 1 tahun 8 bulan, tapi hanya mahu sebut “mama”.
Boleh faham arahan, tapi mulut tak bising.
Mulanya ‘follow up’ dengan klinik Kesihatan, nampak semua ok. Sampailah umur 1 tahun setengah, perkembangan bahasa anak tak selari dengan carta perkembangan yang dirujuk.
Nurse pun ada tekankan isu pemakanan anak. Sepatutnya, umur setahun sudah boleh makan nasi macam kita. Tapi anak masih makan bubur yang dikisar.
Masa inilah mula datang risau yang teramat.
“Ada kaitan tak anak lambat bercakap dengan masih tak pandai makan nasi keras?”
Ibu ini sebenarnya tanggung dua kerisauan,
Anak masih belum bercakap
Anak masih makan bubur lembik sahaja.
Pengalaman saya, banyak kes anak lambat bercakap yang ada isu dengan pemakanan.
Anak tak mahu terima nasi yang berbutir.
Bila disuap, diluahkan semula.
Dalam kes ini, ibunya beritahu pengasuh masih beri makan bubur sebab takut anak tercekik. Risau kalau anak tak pandai kunyah.
Di rumah, bila anak tak mahu makan nasi, akhirnya beri bubur juga sebab takut anak lapar.
Kita pun faham kerisauan penjaga. Tak ada apa yang lebih besar daripada keselamatan anak yang dijaga.
Apa lagi nak tengok anak berlapar.
Cuma ini yang ibu bapa dan penjaga perlu tahu,
Bila anak mula ‘explore’ makanan yang lebih keras dan ada tunjukkan reaksi seperti menjeluak, ini adalah tindak balas normal.
Tindak balas ini dinamakan ‘gag reflex’.
Sama macam bila kita gosok gigi. Bila berus gigi kadang-kadang terkena bahagian mulut lebih dalam, kita akan respons macam nak muntah.
Ini sebenarnya, tindak balas untuk jaga badan kita daripada terus tertelan sesuatu benda.
Cuma untuk baby yang dalam fasa mengenal tekstur makanan, mereka perlukan latihan untuk 3 perkara ini,
a) mengawal makanan dalam mulut
b) Mengunyah
c)Menelan makanan
Ada risikonya bila anak tidak diperkenalkan kepada tekstur makanan yang lain bila anak makin besar.
Kajian dapati jenis makanan yang diambil anak, mempengaruhi perkembangan fungsi mulut.
Bahagian yang digunakan untuk makan sebenarnya sama dengan bahagian yang mengawal pertuturan.
Ini termasuk bibir untuk kawal makanan dari terkeluar), rahang untuk kunyah, pipi, lidah untuk menghantar makanan ke sisi untuk dikunyah dan mengaut sisa makanan di celah gigi dan dalam pipi.
Bayangkan, bila anak hanya makan bubur, bahagian mulutnya tidak menerima rangsangan yang cukup untuk berkembang.
Anak memilih hanya satu jenis makanan juga mungkin beri signal bahawa anak ada isu dengan sesori.
Kedua-dua jenis keadaan di atas, akan buatkan bahagian mulut anak terlalu sensitif.
Nak gosok gigi pun susah sebab anak rasa tak selamat bila ada sesuatu nak dimasukkan ke dalam mulut.
Biasanya umur 9 bulan anak mula seronok explore apa yang mulut dia boleh buat.
Buat macam-macam bunyi. Tiru bunyi dan pergerakan mulut orang lain.
Bagi anak yang terlalu sensitif bahagian mulutnya, ia akan jadi pengalaman yang tak seronok untuk bermain dengan mulut.
Bila bahagian dalam mulut ini tidak dilatih, akan beri kesan pada pertuturan.
Contohnya, untuk sebut perkataan, perlu koordinasi setiap bahagian mulut sebab setiap bunyi berbeza kedudukan dan pergerakan bahagian mulut.
Nanti bila anak mula belajar cakap, kemungkinan besar akan ada isu ‘bercakap macam baby’, atau pelat.
Inilah ‘struggle’ yang anak hadapi bila bahagian mulutnya tak diberi rangsangan yang cukup.
Tapi,
Berita baiknya, walaupun bermula lambat, mana-mana sistem badan kita sentiasa ada peluang untuk dilatih semula.
Melatih bahagian mulut, tidaklah memberi kesan terhadap perkembangan bahasa secara langsung.
Tapi dengan melatih mana-mana bahagian badan, akan meningkatkan kesedaran anak terhadap anggota badannya sendiri.
Kita juga mahu anak lebih fleksibel, supaya lebih mudah belajar perkara baru.
Jika anak anda berhadapan masalah seperti di atas, perkara pertama yang anda perlu lakukan adalah beri rangsangan pada mulut bermula dengan pengalaman yang positif (seronok).
Ini 5 perkara yang anda sendiri boleh lakukan di rumah untuk tingkatkan fungsi mulut anak:
Jadikan aktiviti makan sebagai aktiviti yang seronok.
Selalunya, kita akan suap anak dulu atau anak makan kemudian. Ini boleh buatkan anak anggap makan seperti suatu ‘kerja’ yang mereka kena buat.
Sebaiknya, cuba ambil masa sekurang-kurangnya satu sesi makan bersama-sama.
Beri peluang untuk anak explore makanan. Ambil giliran untuk suap. Kadang-kadang, bila anak dapat buat macam yang kita buat, mereka lebih seronok.
Kanak-kanak usia setahun sepatutnya sudah mula belajar suap makanan sendiri. Inilah peluang anda untuk galakkan anak meneroka fungsi tangannya.
Paling penting, sambil galakkan anak makan anda boleh tingkatkan kemahiran bahasa anak.
Contohnya, anda boleh minta untuk anak suapkan benda yang berbeza. Anak dapat peluang belajar kenal jenis hidangan.
Anda boleh komen setiap makanan seperti panas atau sejuk sambil buat ekspresi muka, pedas atau manis dll.
Anda mungkin perlu jangkakan ia akan ambil lebih banyak masa dan lebih comot untuk dibersihkan.
Namun pengalaman pertama inilah yang akan memberi pengalaman positif pada anak untuk explore lebih banyak jenis makanan.
2. Beri peluang untuk anak cuba tekstur makanan yang baru. Kenalkan makanan tersebut secara konsisten setiap hari. Ia bagi melatih sensori dan tunas rasa dalam mulut sikit demi sedikit.
Proses makan adalah suatu perkara yang tak boleh dipaksa. Ia melibatkan penerimaan badan seorang individu.
Kalau anak masih tak sedia, beri semula esok hari. Yang penting, terus perkenalkan makanan tersebut setiap hari.
3. Berus gigi anak, sekali dengan semua bahagian dalam mulut.
rutin ini akan bantu untuk ‘kejutkan’ sensori dalam mulut anak.
Ada anak yang akan meronta atau menggigit berus gigi bila dimasukkan ke dalam mulut.
Ini yang buatkan proses menggosok gigi lebih sukar.
Jika anak anda hadapi masalah di atas, ini teknik yang berkesan untuk anda cuba;
Buat kiraan yang sama setiap kali anda masukkan berus gigi ke dalam mulut anak.
“1,2,3, habis!”
Kenapa ini penting?
Bila anda kira dengan kiraan yang sama setiap kali berus gigi dimasukkan, lama-lama, anak akan tahu apa nak jangka.
Bila anda mula kira, lama-lama anak akan mula tenang. Sebab dia sudah tahu, nanti sampai nombor 3 mesti habis.
Mulakan dengan kiraan laju. “1 2 3 habis!” Jika anak baru belajar perkataan habis, lakukan dengan pergerakan membalik-balikkan tangan untuk isyarat habis.
Tunggu sekejap. Kemudian sambung semula dengan kiraan yang sama. Lakukan langkah yang sama sehingga siap.
Bila anda perhatikan anak makin boleh terima berus gigi, panjangkan masa kiraan supaya boleh gosok gigi anak lebih lama. Ini yang paling penting untuk anda ingat,
Panjangkan masa dengan melengahkan kiraan yang sama. Elakkan tambah nombor kiraan.
Jika anda mula kira “1 2 3 habis!”, tetaplah dengan kiraan yang sama walaupun anak sudah mula terima berus gigi dalam mulut.
Panjangkan masa dengan melengahkan kiraan. Kira lambat-lambat. “Satu.....dua....tiga habis!”
Rasionalnya, anak anda akan lebih tenang sebab dia sudah tahu sampai nombor 3, mesti habis. Jika anda ubah rutin verbal ini dengan tambah nombor lain, anak tak lagi rasa selamat.
Rutin verbal yang diulang-ulang inilah yang buatkan anak tahu apa nak jangka. Ini buatkan anak rasa selamat.
Bahagian mana yang anda perlu gosok?
Seluruh bahagian gigi termasuk geraham di belakang. Gusi dan celah pipi dalam, kiri dan kanan. Bahagian lidah keseluruhan dan lelangit.
Jika berus gigi kasar untuk anak anda, cuba gunakan tuala kecil yang dibalut pada jari.
Jika anak ada potensi untuk gigit jari, balut tuala pada hujung pemegang berus gigi supaya anda mudah kawal di bahagian lebih dalam mulut.
4. Galakkan anak meniru pergerakan bibir, lidah dan pipi sambil bermain di depan cermin.
Anda juga boleh meniru sebarang ekspresi muka atau bunyi yang anak lakukan.
Anda boleh tarik perhatian anak dengan melukis muka dengan menggunakan ‘face paint’ yang selamat untuk kulit.
Aktiviti ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kemahiran meniru dan tumpuan bersama anak.
5. Untuk galakkan anak makan, anda perlu kurangkan pengambilan susu. Susu yang kerap buatkan anak kenyang dan tak berminat dengan makanan.
Rancang waktu makan anak. Jika anda mahu latih anak makan nasi, elakkan beri makanan lain supaya anak betul-betul rasa lapar.
.
.
Saya percaya jika anda dapat lakukan 5 perkara ini bersama anak, anak akan lebih mudah menerima tekstur makanan baru.
Fungsi mulutnya juga akan meningkat.
Tapi jika anda hadapi masalah untuk lakukannya, anda boleh rujuk kepada Speech Therapist.
Speech Therapist akan ‘guide’ anda langkah demi langkah, bersesuaian dengan masalah yang anak anda hadapi.
Siti Sarah Said,
Speech-Language Therapist.
Comments