Baru-baru ini, seorang ibu beritahu kerisauan tentang anaknya yang sudah genap berusia 2 tahun setengah,
“dia masih cakap sepatah-sepatah, belum boleh bina ayat.”
Kebetulan abangnya ada sekali, beza umur dalam 2 tahun. Saya perhatikan dari jauh, elok dia main dengan abangnya. Sesekali berebut kereta mainan yang dibawa, abang mengalah.
“Sepatutnya umur macam ni boleh gabungkan perkataan kan? Sebab bila ingat balik, abang dia dulu dah petah bercakap masa sebaya dia. Risau kalau ada yang tak kena dengan Zarif.”
Risaunya bertambah apabila pernah ada pengalaman membesarkan anak pertama. Dibandingkan, jauh beza.
Setelah penilaian dilakukan, dikumpulkan bersama data yang dikongsikan oleh si ibu, rupa-rupanya Zarif baru ada kurang daripada 30 patah perkataan. Perkataan pertamanya pula keluar pada usia setahun setengah.
Kenapa Zarif masih belum boleh mula gabungkan perkataan?
Dalam kes Zarif, sebenarnya ada beberapa sebab yang boleh menyebabkan fasa ini tertangguh. Antara yang biasa terjadi adalah:
1. Masih kurang bilangan perkataan.
Menurut kajian, kanak-kanak perlu ada sekurang-kurangnya 50 patah perkataan, barulah anak boleh gabungkan perkataan dengan mudah dan spontan. Jika kurang, memang anak akan struggle untuk mula fasa ini.
Ada juga yang sudah mula boleh gabungkan perkataan pada usia 2 tahun, walaupun kurang daripada 30. Namun kita akan nampak patennya sama. Contohnya pengulangan penggunaan “nak __”. “Nak roti”, “nak susu” atau “nak biskut”.
2. Anak lewat keluarkan perkataan pertama
Mungkin kita fikir bila anak berumur sekian-sekian, anak perlu bercakap macam umur seusianya, walaupun bermula lewat. Malangnya tidak.
Tempoh keluarnya perkataan pertama, mempengaruhi kemahiran untuk anak gabungkan perkataan. Sepatutnya, anak mula keluarkan perkataan pertamanya dalam lingkungan usia setahun ke setahun 4 bulan.
Menghampiri setahun setengah, paling kurang, anak perlu ada 20 patah perkataan bermakna.
Jika diikutkan kajian, kanak-kanak mula untuk menggabungkan idea pada usia setahun setengah ke dua tahun.
Bermula dengan mahir menggabungkan perkataan dan gesture untuk menyampaikan dua idea, contohnya,
memanggil “mama”, kemudian tunjuk pada biskut di atas rak. Merujuk kepada seseorang dan merujuk kepada biskut, inilah yang dikataan menggabungkan 2 idea.
Setelah perkataan anak meningkat sehingga lebih kurang 50 patah, mereka akan mula menggabungkan perkataan. “ mama, biskut.”
Bayangkan, jika perkataan pertamanya baru keluar pada usia 1 tahun setengah, menjelang 2 tahun, anak ini belum lagi mencapai 30 patah perkataan.
Inilah yang menyebabkan perkembangan bahasanya lewat daripada tahap usianya.
3. Kurang keinginan untuk berinteraksi.
Seperti kes Zarif, ibunya beritahu yang Zarif banyak menghabiskan masa menonton TV. Selebihnya, dia akan bermain sendiri.
Cara mainnya pula, lebih kepada aktiviti fizikal seperti berlari, main basikal dan main kereta mainannya. Sesekali bermain dengan abang, itupun tidak lama, kerana kebanyakan masa akan bergaduh.
Kata ibunya, kesibukan menguruskan kerja rumah, membataskan peluang untuk bermain dengan anak-anak. Tambahan pula, Zarif dilihat pandai membawa diri.
Rupa-rupanya, keadaan ini menyebabkan Zarif kurang peluang untuk mendengar perkataan baru. Kurangnya interaksi dengan orang sekeliling menyebabkan Zarif kurang mahir menyampaikan sesuatu.
Kemahiran bahasa hanya akan bertambah, seiring dengan kemahiran komunikasi.
Maksudnya, lebih kerap anak cuba sampaikan sesuatu pada kita, lebih banyak peluang anak berlatih menggunakan perkataan baru yang dipelajari.
.
.
Bagaimana Zarif dapat dibantu?
Jika anak anda mengalami struggle yang sama seperti Zarif, ini beberapa cara yang anda boleh mula.
1. Bina peluang untuk anak berkomunikasi
Pokok hanya akan tumbuh lebih tinggi, jika ada ruang yang lebih besar. Begitu juga dengan penggunaan bahasa.
Selalunya, jika kita main dengan anak, kita akan banyak bertanya soalan.
“ini apa adik?”, “buat apa tu?” atau “ini warna apa?”
Bertanya soalan tidak salah. Malah, kita boleh tentukan sama ada anak ada pengetahuan tentang soalan itu atau tidak.
Namun, situasi ini akan mengurangkan peluang untuk anak sampaikan sesuatu pada kita. Anak cenderung untuk diam. Adakalanya, mereka akan cuba mengelak kehadiran kita jika kebanyakan masa hanya menguji.
Ubah keadaan tadi kepada situasi ini untuk beri impak yang lebih besar; Beri masa. ‘Pause’. ikut rentak anak dan duduk di sampingnya sambil perhatikan apa yang dilakukan.
Kali ini, biar anak cuba sampaikan apa yang dia fikirkan dengan caranya. Dari sini, anda akan timbulkan minat anak untuk sampaikan sesuatu.
Tunggu sebentar dan beri masa dengan memerhati di sampingnya.
Lebih banyak peluang untuk anak sampaikan sesuatu, lebih besar keinginan anak untuk menggunakan perkataan.
Bagaimana anda boleh respons sekiranya anak cuba sampaikan sesuatu?
2. Jadi komentator.
Jika kita banyak diam ketika anak bermain, anak akan kurang mendengar perkataan. Caranya, jadi komentator.
Bayangkan komentator ketika perlawanan bola di dalam TV, beliau tidak bercakap sepanjang masa. Beliau hanya akan bercakap perkara yang berkaitan tentang apa yang berlaku sepanjang perlawanan supaya penonton tahu apa yang berlaku.
Inilah peranan anda ketika bersama anak. buat dua perkara ini untuk jadi komentator yang baik untuk anak:
a. Bila anak cuba sampaikan sesuatu menggunakan 1 perkataan, respons dengan modelkan cara menggabungkan perkataan.
Contohnya, anak sebut “mama” sambil tunjuk biskut, anda terus respons, “mama, biskut!” sambil tunjuk pada biskut juga. Modelkan cara guna.
Anak minta bukakan TV, “buka”. Anda respons, “buka TV?”
Inilah cara untuk anak belajar bagaimana paten perkataan yang digabungkan. Andalah yang perlu modelkan caranya.
b. Ceritakan apa yang anak sedang lakukan.
Apabila anda berada di samping anak, seimbangkan di antara komen dan pause. jika kebanyakan masa anda hanya diam memerhati, anak kurang mendengar perkataan.
Sesekali, anda perlu jadi komentator dengan ceritakan apa yang anak buat, lihat, rasa atau sentuh dengan memodelkan cara gabungkan perkataan. Contohnya,
“wow tinggi!”
“o’o jatuh!”
“aduh sakit!”
“Adik makan”
“mama makan”
Anda boleh ceritakan apa sahaja yang anda perhatikan. Anda boleh gunakan apa sahaja perkataan. Namun, anda ada pilihan untuk jadikan komunikasi anda berkualiti.
Gunakan cara di atas.
3. Perkenalkan perkataan yang berpasangan dengan pergerakan.
Kajian buktikan, anak yang boleh menggunakan gesture atau pergerakan badan, lebih mudah belajar perkataan baru.
Menggabungkan perkataan, bermula dengan langkah menggabungkan idea. Jika anak hanya cakap sepatah-sepatah, galakkan anak untuk menggabungkannya dengan gesture dahulu.
Contohnya, bila anda perkenalkan perkataan ‘besar’, beri isyarat tangan dibuka.
Bila anda nak ceritakan tentang kereta besar, “kereta besaaar!” tunjuk isyarat besar.
Bila nak cari seseorang, “mana ayah?” buat gerakan mewakili ‘mana’ dengan buka tangan dan angkat bahu.
Dengan cara ini, anak akan belajar untuk menggabungkan idea, bermula dengan langkah yang lebih mudah.
Gabungkan perkataan dan gesture yang mewakili perkataan.
4. Baca buku bersama
Kalau anda perasan, seharian bersama anak kadang-kadang hilang idea nak bersembang. Gunakan buku.
Kita tahu, buku umpama pintu yang membawa kita ke dunia yang lebih besar. Kita berpeluang perkenalkan perkataan yang kita tidak terfikir untuk digunakan bersama anak.
Modelkan cara menyebut dua perkataan ketika menceritakan gambar di dalam buku.
“Arnab tidur, shhhh”
“Arnab lariii!”
“Arnab kalah!”
“Arnab nangis”
Ada satu kelebihan jika anda boleh gunakan buku untuk tunjukkan model cara bercakap; peluang untuk mengulang perkataan yang sama.
Mengapa pengulangan penting? Ini membawa kita kepada poin yang terakhir.
5. Pengulangan, mengukuhkan minda
Sesekali kita tunjukkan cara menggabungkan perkataan, anak tidak akan dapat ‘membacanya’. Pengulanganlah yang akan membantu minda kita untuk menangkap paten bunyi yang berbentuk dua perkataan.
Sebab itu, sangat digalakkan untuk menggunakan intonasi ketika bercakap dengan anak.
Intonasi akan membantu anda untuk memanjangkan perkataan supaya anak dengar jelas, dan paten bunyi perkataan mudah dikesan.
Inilah sebabnya kenapa anak mudah meniru lagu. Intonasi dan paten yang berulang.
Pengulangan juga akan meningkan kemahiran mendengar dan mengingat.
Ingat, bahasa adalah satu cabang ilmu yang memerlukan ketajaman pendengaran dan mengingat.
Bantu anak untuk mudah belajar dengan ulang sebut dan lakukan secara konsisten.
.
.
Anak yang sudah boleh menyebut perkataan, selangkah maju dalam berkomunikasi.
Anak anda sudah ada tapak yang kukuh. Naikkan binaannya untuk anak bentuk sebuah rumah yang tegap dan indah.
Bermula sekarang kerana semakin besar, semakin banyak yang boleh anak kongsikan cerita bersama anda.
Ketika itu anda akan lihat pengorbanan yang anda lakukan selama ini, sebenarnya untuk mencipta memori indah dan menjadi sahabat terbaik untuk anak anda.
Comments