top of page

Anak tak hiraukan permainan, ini 3 langkah mudah yang mak ayah boleh buat supaya anak minat bermain.



Siapa tak seronok tengok baby ralit bermain. Apa-apa sahaja boleh dibuat permainan.


Semakin meningkat bulan, semakin banyak telatahnya.

Macam-macam akal keluar. Paling best, bila mak ayah pun boleh siapkan kerja rumah bila anak ralit main sendiri.

Bila mula berjalan umur setahun, anak mula sibuk nak guna semua barang yang kita guna. Cuba nak tiru macam kita buat.


Masa inilah semua periuk dan kuali jadi barang mainan.


Sebab itu, kalau anda perhatikan anak sudah masuk 2 tahun tapi masih tak pandai guna permainan, memang ada yang tak kena.


Selalunya ibu ayah beritahu kalau anak dapat barang mainan, hanya dicampak ke bawah. Tak pernah main lama macam budak lain.


Rumah memang sentiasa penuh dengan permainan atas lantai. Yang buat lagi ‘stress’ bila anak tak suka bila permainan tersebut disimpan elok.


Sepatutnya lingkungan umur setahun, budak sudah mula pandai main dengan fungsi yang betul.


Masa ni, kita akan nampak anak sudah pandai guna cawan atau sudu dengan fungsi yang betul. Tolak kereta mainan sambil buat bunyi “brumm bruumm”.


Masuk usia 1 tahun setengah, kemahiran bermain makin berkembang. Pandai suap baby makan, kacau cawan guna sudu. Apa saja benda berbentuk petak, dijadikan telefon.


Tapi kenapa ada yang tak berminat dengan barang mainan?


selalunya, ini 2 sebab utama kenapa anak tidak berminat nak bermain, walaupun ada permainan di rumah;


  1. Boleh akses kepada barang mainan yang banyak.

  2. Kemahiran bermain kurang.


Tak dinafikan, rasa seronok bila ibu ayah dapat belikan permainan yang anak mahukan.

Ada juga ibu ayah yang sanggup beli macam-macam ‘educational toys’ untuk bagi anak bijak membesar.


Semua ini dibuat atas dasar kasih sayang.


Cuma kadang-kadang timbul rasa kecewa bila anak main sekejap-sekejap sahaja.

Baru beli sehari, anak sudah bosan main. Esoknya tak dipedulikan lagi. Cari pula mainan lain.



Apa yang berlaku bila terlalu banyak permainan?


Sebenarnya, permainan yang banyak boleh buatkan anak kurang fokus.


anak cenderung untuk ‘tak nampak’ sebab terlalu banyak.


Ingat tak lagi pengalaman kita pergi ke kedai makanan yang terlalu banyak pilihan makanan yang sedap.


Nak pilih pun boleh sampai jadi pening kepala.


Kadang-kadang, akan berakhir dengan makanan yang bukan dalam senarai yang kita inginkan pun.


Ambil pula contoh penggunaan gajet zaman sekarang. Terlalu banyak info. Terlalu banyak yang kita nak tahu dan baca.


Jari yang menyentuh skrin laju bergerak dari satu info kepada yang yang lain.


Akhirnya, minda kita sebenarnya tidak dapat fokus dan tangkap perkara yang penting pun walaupun kita terima banyak info.

Samalah juga dengan kanak-kanak. Apabila terlalu banyak permainan, mereka akan bergerak daripada satu benda ke satu benda yang lain secara pantas.

Mereka tidak fokus bermain. Akhirnya, mereka terlepas peluang meneroka sesuatu permainan dalam masa yang lama.

permainan yang banyak dan dilihat sepanjang masa juga akan menyebabkan anak rasa bosan untuk main.


Jika ini berlaku, ini 3 tips yang ibu ayah boleh lakukan di rumah supaya anak mendapat manfaat daripada permainan yang mereka ada;



1. Buat'rotation' pada alat permainan.

Sebagai contoh, jika ada 10 jenis permainan, letakkan 2-3 jenis sahaja pada satu masa dan selebihnya simpan.


Hanya tukar setiap 5 hari (ikut kesesuai), dan kekalkan 'rotation'.


Banyak kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak tidak pernah bosan bermain.


Lebih banyak masa yang boleh dihabiskan untuk 'explore' sesuatu benda, lebih banyak peluang untuk mereka belajar perkara baru.


Sebenarnya bila anak mula pandai bermain satu permainan, bila mereka sudah 'master' cara bermain, mereka akan rasa lebih selamat dan rasa ‘in control'.


Ini buatkan mereka memilih untuk bermain lebih lama dan explore cara main yang baru dengan menggunakan permainan yang sama.


Jadi, beri mereka akses kepada permainan yang terhad dalam suatu masa, supaya mereka boleh ambil masa untuk explore.

2. Asingkan permainan yang masih elok dan yang sudah rosak.

Jika barang mainan sudah banyak tapi anak masih kelihatan bosan, ini sebenarnya adalah signal untuk anda berhenti membeli yang lain.

Cuba lihat kembali kepada koleksi barang permainan yang ada. Mana yang sudah tidak berfungsi, asingkan.


Tinggalkan yang benar-benar boleh dipakai untuk bermain sahaja.


Ini dapat kurangkan tenaga anak untuk memilih mainan. Biarlah tenaga ini digunakan untuk anak belajar main satu atau dua jenis permainan sahaja.

3. Susun alat permainan ikut kategori.


Ini adalah solusi terbaik bagi anak yang suka taburkan barang dari bakul mainan.


Kadang-kadang mereka hanya nak cari 1 barang permainan, tapi semua ditaburkan.

Bila diasingkan ikut kategori, anak mudah nampak permainan yang dia mahu.


Yang bagusnya, masa simpan permainan ibu ayah boleh ajar anak perkataan baru. Boleh kenalkan konsep ikut kategori mainan seperti,


Barang besar & kecil, mainan lembut & keras, mainan memasak & bertukang dll.


——-


bagaimana jika anak masih tak minat nak bermain?

Boleh jadi, kemahiran bermain mereka belum berkembang seperti kanak-kanak lain.

Sesetengah anak-anak yang lambat bercakap, didapati kemahiran bermainnya juga kurang.

Ada ibu ayah yang keliru. Mereka fikirkan anak ini memang tidak minat bermain dengan alat permainan, sebaliknya sukakan aktiviti fizikal.

kemahiran bermain adalah antara faktor terbesar yang mempengaruhi perkembangan bahasa anak.


Jika anak tidak bermain dengan cara yang betul walaupun sudah masuk 2 tahun, ini petanda awal bahawa anak anda perlu dibantu.


Sebagai ibu bapa, apa yang anda boleh lakukan adalah:


a) perhatikan cara anak bermain. Jika anda perhatikan cara main anak tidak sama seperti kanak-kanak lain, disarankan untuk rujuk kepada hospital atau pusat terapi terdekat untuk dapatkan penilaian.


b) anda juga boleh mula ajar anak bermain. Langkah pertama, ajak anak main tanpa sebarang objek atau mainan.


Contohnya bermain sorok-sorok, main ‘naik kuda’, lompat bersama-sama dll.


Bila anak mula mahir interaksi dua hala bersama orang lain, lebih mudah anak belajar meniru.


Dari sinilah anda boleh ajar anak bermain alat permainan. Kajian tunjukkan, kemahiran bermain anak berkembang jika anak mahir meniru. Untuk meniru, anak perlu ada tumpuan bersama.

Inilah kemahiran yang anda dapat latih bila bermain bersama-sama anak.


Saya percaya, ibu bapa adalah 'permainan' terbaik untuk anak-anak.


Andalah guru pertama untuk mereka belajar bagaimana dunia mereka berfungsi.


seronoknya bermain juga datangnya dari pengalaman manis yang didapati daripada interaksi bersama insan yang disayangi dan dipercayai.



Siti Sarah Said,

Speech-Language Therapist,

S&Z Speech Therapy Center Meru Raya.


.

369 views0 comments
bottom of page