Bila kita sedang berbual dengan seseorang, umpamanya kita sedang bermain 'lambung-sambut' bola.
Seorang baling, seorang lagi bersedia untuk sambut, dan sebaliknya. Bersilih ganti.
Mata perlu tumpu pada siapa kita mahu baling, jika tidak, bola boleh tersasar.
Yang bersedia untuk tangkap, perlu tunggu dan fokus supaya bola tak terlepas.
Masing-masing perlu ambil giliran untuk baling dan sambut, barulah permainan jadi.
Samalah juga seperti kita berkomunikasi.
seorang akan bertutur, pasangan komunikasinya akan mendengar, dan tunggu sehingga mesej habis disampaikan.
Dalam proses menunggu dan mendengar, mesej yang didengar akan diproses. Minda perlu bekerja untuk beri respons yang sesuai, dan sebaliknya.
Dua situasi ini perlukan satu kemahiran asas yang penting; iaitu kemahiran mengambil giliran.
Kemahiran mengambil giliran merupakan perkara asas dalam komunikasi.
Biasanya, bayi mula belajar ambil giliran pada usia 3 bulan lagi.
Apabila mereka menghasilkan bunyi, selalunya kita akan mengagah mereka.
Tindakan kita ini secara tidak langsung akan mengajar mereka peraturan dalam perbualan:
Setiap individu mengambil giliran untuk berkomunikasi.
Bagi kebanyakan anak yang lambat bercakap, mereka tidak mahir mengambil giliran bila kita ingin berbual.
Maka, mereka tidak mendengar dengan teliti, kurang peluang untuk belajar perkara baru.
Makin meningkat usia, dengan kemahiran bahasa yang kurang, kalau boleh mereka terus mahu dapatkan apa yang mereka inginkan tanpa perlu tunggu.
Berita baiknya, kemahiran ini boleh dilatih.
Sebelum ajar anak bercakap, kemahiran ini perlu dilatih terlebih dahulu.
Umpama membina sebuah rumah, kemahiran mengambil giliran ibarat membina lantai yang kukuh (bersama beberapa kemahiran lain lagi) sebelum rumah dinaikkan.
Bagi melatih kemahiran ini, anda boleh aplikasikan 4 tips ini bersama anak di rumah:
1. Respons terus kepada mereka apabila mereka cuba untuk berkomunikasi.
Jika belum boleh bercakap, perhatikan cara yang digunakan untuk tujuan berkomunikasi (pandangan mata, menunjuk dll).
Respons pada setiap perkara yang mereka ingin sampaikan. Kemudian beri masa kepada mereka pula untuk cuba respons.
Ini akan buatkan mereka rasa tindakan mereka mendapat perhatian dan dihargai.
2. kurangkan tekanan.
Tekanan yang banyak akan menyebabkan kanak-kanak tidak bermotivasi untuk bercakap.
Apabila berkomunikasi dengan anak, cuba elakkan perbualan seperti berikut:
“Lily, sebut BOLA!”
Atau,
“Lily, boleh tak awak sebut BOLA?”
Elakkan soalan ‘menduga’ seperti “ini apa?” atau “ini warna apa?”
Sebaiknya, komen dan terangkan apa yang mereka lakukan, lihat atau rasa.
"BOLA! Tangkap BOLA. Mana BOLA?"
3. Tiru perlakuan atau sebutan anak kecil. Perbuatan ini akan menggalakkan mereka untuk mengulang semula perlakuan atau sebutan tertentu sesudah melihat kita memberi tindakbalas.
Secara tidak langsung mereka mengasah kemahiran meniru dan mengambil giliran.
4. Apabila berinteraksi dengan anak kecil, bercakap dengan kadar yang perlahan berbanding perbualan bersama orang dewasa.
Ini akan memberi masa kepada mereka untuk proses apa yang didengar dan apa yang akan dituturkan.
Berikan juga penekanan pada intonasi. “waaahhh besaaaaarnyaa bas!”.
Antara permainan yang menggalakkan kemahiran mengambil giliran adalah seperti:
a. Anda susun bongkah kayu secara meningkat, kemudian minta anak anda jatuhkan.
b. Bermain cak-cak
c. Bermain bola dengan menolak ke depan dan ke belakang secara berpasangan.
d. Menolak kereta permainan secara bergiliran.
e. Simpan permainan ke dalam kotak secara bergilir-gilir. f. Jika bermain anak patung, lakukan aktiviti secara bergilir-gilir. Contohnya ambil giliran beri minum atau makan pada anak patung. g. tiup 'bubbles' secara bergilir-gilir. tunggu respons anak untuk minta 'bubbles'. letupkan 'bubbles' bergilir-gilir sambil buat bunyi tertentu seperti, "pop!".
h. Jika anak sukakan aktiviti fizikal, gunakan juga kemahiran ini. contohnya jika anak suka digeletek, buat kiraan tertentu (latih menunggu), kemudian baru geletek. buat berulang kali dengan kiraan yang sama.
Banyak lagi aktiviti yang boleh dipraktikkan bagi meningkatkan kemahiran mengambil giliran.
Paling penting, lakukan ketika sesi bermain dengan seronok!
Proses belajar bercakap sebaiknya dilakukan secara santai, tanpa tekanan, tetapi konsisten.
Saya percaya, jika anda boleh lakukan dengan kaedah yang betul, anda pasti dapat membantu anak untuk kuasai kemahiran ini. yang paling penting, proses ini dapat mengeratkan lagi hubungan anak dengan anda sendiri. bukankah hubungan yang positif adalah kunci kepada proses pembelajaran?
Siti Sarah Said,
Spech-Language Therapist,
S&Z Speech Therapy Center,
Meru Raya, Ipoh.
Comentários