Kita nak anak cepat bercakap, atau sekurang-kurangnya dapat mahirkan bercakap seperti mana kanak-kanak yang lain.
Kebanyakan teknik yang disyorkan adalah dengan memodelkan penggunaan perkataan ataupun ayat.
Kita sebut, kita berikan contoh perbuatan dari ayat itu. Itulah maksudnya memodelkan.
Ada juga teknik yang patut ibubapa gunakan selain teknik memberi model, iaitu dengan bertanya soalan. Baik.
Pertama sekali, kita perlu tahu fungsi soalan.
Mengapa kita perlu bertanya? ==> soalan dapat menunjukkan rasa faham dan cara menerima maklumat tentang sesuatu informasi. ==> soalan boleh mempercepatkan anak memahami dunia di sekelilingnya. Jelas di sini, kunci utama untuk bertanya, adalah pada perkara yang anak sudah ada pengetahuan tentangnya. Soalan juga boleh dikategorikan mengikut peringkat.
Daripada yang mudah kepada yang lebih kompleks, mengikut peringkat umur.
Di sini saya ingin kongsikan garis panduan untuk bertanya soalan seperti di bawah:
1. Umur 2 TAHUN
Gunakan soalan "di mana..?"
Tanya berkenaan objek atau gambar yang mereka kenal sahaja. Sebagai contoh,
"Mana bola?" Mereka boleh menunjuk pada bola untuk menjawab.
Naikkan intonasi suara dihujung soalan, ini membolehkan anak mengenalpasti soalan.
Tanyakan soalan yang memerlukan jawapan "ya/tidak." Mereka boleh mengangguk atau menggeleng kepala untuk menjawab.
2. Umur 3 TAHUN
Semasa menyoal, tunjukkan pada objek sambil memberi penerangan.
"Apa yang awak pakai di kaki itu?"
Pada peringkat ini juga, anak sudah mula berupaya menjawab soalan yang lebih panjang.
"Dimana....?
"Apa..... sedang buat?"
"Siapa ...?
Menjawab ataupun memahami soalan "boleh tak awak.....(soalan)."
3. Umur 4 TAHUN
Pada peringkat umur ini, soalan boleh divariasikan.
Siapa, bagaimana, mengapa, di mana, atau
"Jika.....apa...?" Sebagai contoh,
"Jika hari hujan, apa awak perlu buat?"
Tanyakan soalan tentang fungsi sesuatu objek. Contohnya, "apa yang awak boleh buat dengan gunting?"
Banyakkan soalan "mengapa..?"
4. Umur 4 TAHUN ke atas
Secara umumnya, kesemua soalan boleh ditanya pada umur ini termasuk "bilakah...?"
Galakkan soalan yang memerlukan jawapan yang lebih panjang, dan jangkakan penggunaan tatabahasa yang betul.
.
.
Namun perlu diingat, setiap anak mempunyai kemahiran bahasa dan pertuturan yang berbeza.
Kesilapan memilih jenis soalan boleh memberi kesan negatif kepada motivasi anak untuk belajar bercakap. Gunakan panduan di atas sebagai permulaan.
Didapati, kanak-kanak yang mempunyai masalah bahasa dan pertuturan adalah lebih sukar bertanya dan menjawab soalan dengan baik.
Kemahiran ini memerlukan kanak-kanak untuk;
+ faham apa yang ditanya
+ memproses soalan yang diberi
+ membentuk dan menyusun jawapan
+ mengekspresikan jawapan (secara verbal)
Oleh itu, pastikan di mana tahap perkembangan bahasa dan pertuturan anak anda sebelum bertanya.
Seimbangkan kesemua stimulasi bahasa, masa untuk anak respons, dan soalan yang digunakan.
Jadikan proses mempelajari bahasa dan pertuturan adalah satu pengalaman yang seronok kerana ia adalah proses yang berterusan.
Siti Sarah Said,
Speech- Language Therapist.
Comments